Khamis, 17 Januari 2008

j-QAF Pendidikan Khas: Dakwah anak murid OKU

j-QAF Pendidikan Khas: Dakwah anak murid OKU
Program j-QAF diperluas ke kelas pendidikan khasOleh Rosniza Mohd Taha
30 sekolah terpilih laksana amali solat, iqra untuk murid istimewa
PROGRAM Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) yang sebelum ini dilaksanakan di sekolah rendah akan diperluaskan ke 2,366 kelas Program Integrasi Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran (PIPKMP) serta 28 Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) secara berperingkat, mulai tahun ini hingga 2014.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran, Rozainum Ahmad, berkata kira-kira 12,000 murid pendidikan khas seluruh negara dijangka mengikuti program itu, selain membuka peluang 700 jawatan guru j-QAF Pendidikan Khas.
Beliau menjelaskan, buat permulaan sebanyak 30 sekolah yang menyertai PIPKMP akan melaksanakan j-QAF mulai 28 Januari ini, menggunakan dua modul iaitu Modul Amali Solat bagi fardhu Ain dan Modul Kaedah Iqra’ untuk tilawah al-Quran.
Katanya, seramai 30 guru j-QAF Pendidikan Khas sudah melaporkan diri di institut pendidikan guru kelmarin untuk mengikuti program orientasi dua minggu dan seterusnya menjalani Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) di sekolah terbabit.
“j-QAF Pendidikan Khas ini sebahagian usaha melaksanakan program Pelan Induk Pembangunan Pendidikan di bawah teras dua dan empat iaitu membangunkan modal insan serta merapatkan jurang pendidikan.
“Kurikulumnya berdasarkan kurikulum j-QAF aliran perdana yang disesuaikan mengikut tahap kemampuan murid pendidikan khas.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Islam dan Moral serta Bahagian Pendidikan Guru atas kerjasama menempatkan guru j-QAF di 30 sekolah PIKPMP,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, semalam.
Rozainum berkata program itu dilaksanakan setelah kejayaan projek rintisnya pada Julai hingga Oktober lalu di 12 sekolah PIKPMP membabitkan 100 murid pendidikan khas.
“Semua murid pendidikan khas yang menyertai program rintis berjaya mencapai sasaran menguasai Iqra 1 dalam tempoh 10 minggu, manakala empat dipilih sebagai murid cemerlang dengan pencapaian melebihi sasaran iaitu menguasai Iqra 3 dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, j-QAF untuk SKPK akan dimulakan tahun depan menerusi projek rintis di empat sekolah kategori masalah penglihatan dan pendengaran.
“Pelaksanaan j-QAF di SKPK mengambil masa lebih lama untuk dimulakan kerana ia memerlukan alat pengajaran dan pembelajaran khas seperti al-Quran Braille bagi tilawah murid masalah penglihatan,” katanya.
Sumber:
Berita harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

' © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates